Celosia Cristata

Dikenali umum sebagai Bunga Balung Ayam bahasa melayu, tumbuhan yang tergolong dalam kumpulan pokok renek ini sangat mudah dijumpai tumbuh meliar di halaman-halaman kampung. Tumbuhan dari genus Celosia ini terbahagi kepada beberapa spesies seperti Celosia Plumosa, Celosia Spicata, Celosia Argentea dan Celosia Virgata. Keunikan pokok renek ini dilihat pada bentuk bunganya yang seakan-akan balung ayam dan juga pada variasi warna bunganya iaitu merah, kuning, jingga, merah jambu serta campuran 2 warna.

Menanam daripada biji benih:
Untuk penanaman Celosia Cristata, biji benihnya bolehlah dikumpulkan daripada bunga yang telah matang. Biji benihnya halus berwarna hitam dan dihasilkan dengan banyak dalam satu bunga oleh pokok induk. Bagi kawasan beriklim panas, benih boleh terus ditanam pada tanah dan bagi beriklim sejuk, perlu ditanam dalam bekas semaian dalam rumah terlebih dahulu. Tanaman Celosia ini mengambil masa selama kira-kira 90 hari untuk berbunga daripada benih ditanam dan memerlukan tanah yang bersuhu tinggi kira-kira 60darjah fahrenheit (16 celsius) atau lebih untuk mudah bercambah.

Biji benih Celosia (zoom-in)

Walaupun bunga balung ayam ini boleh tumbuh dalam kebanyakan jenis tanah (tanah pasir, tanah liat,tanah gambut) adalah lebih digalakkan membuat penanaman benih dalam tanah yang tinggi kandungan bahan organiknya serta yang bersaliran baik untuk hasil terbaik. Lakukan semaian biji benih dengan kedalaman tapak 1/4 inci dalam dan tanah berkeadaan lembap. Ia mengambil masa lebih kurang 11 hinga 14 hari untuk bercambah pada suhu tanah 70darjah fahrenheit (21celsius). Jarak penanaman antara tanaman pula adalah 18inci bagi spesies kecil dan 18-24inci bagi spesies besar. Ketinggian pokok matang adalah dalam lingkungan 10inci hingga 12kaki. Perlu diingat bahawa kawasan penanaman pokok renek ini mestilah sentiasa mendapat sinaran matahari penuh untuk pertumbuhan yang baik dan bunga yang cantik.

Celosia Cristata berwarna kuning

Aneka Warna Celosia Plumosa

Celosia Plumosa